Berlumba dengan setengah liter petrol

KALI ini mereka diberikan sebuah enjin bersesaran 660cc, transmisi manual lima kelajuan dan wang berjumlah RM17,500 untuk membina sebuah kereta lumba.
Tempoh masa yang diberikan adalah selama lima bulan. Hanya setengah liter minyak petrol Petronas Primax 95 diberikan untuk perlumbaan Perodua Eco-Challenge 2011 (PEC 2011).
Setiap pasukan perlu memerah otak dan tenaga bagi menghasilkan sebuah jentera yang lengkap sifatnya untuk berlumba. Binaan jentera perlu menepati standard teknikal dan piawaian oleh Perusahaan Otomobil Kedua Sdn. Bhd. (Perodua).
Senario itu nyata berbeza dengan dua kejohanan sama sebelum ini. PEC 2009 dan 2010 masing-masing menyaksikan setiap pasukan diberi sebuah Perodua Myvi 1.3L dan Perodua Viva 1.0L beserta wang berjumlah RM10,000. Ketika itu, satu liter petrol digunakan untuk perlumbaan.
Tahun ini, kejohanan diadakan di Litar Permotoran Antarabangsa Melaka (MIMC) di Air Keroh, Melaka. Litar sepanjang 1.7 kilometer (km) menyaksikan pasukan Politeknik Ungku Omar (PUO) muncul juara PEC 2011 bagi kategori Jarak Paling Jauh.
Catatan jarak rasmi ialah 24.07 km dengan setengah liter petrol Petronas Primax 95. Harus diingat, PUO sebenarnya merupakan juara bagi kategori manual Jarak Paling Jauh PEC 2009.
Ketua pasukannya, Mohd. Azmi Ibrahim berkata, keseluruhan projek menyiapkan jentera dilakukan dalam tempoh tiga bulan sahaja. Suntikan modal terpaksa diberikan sehingga kos menghasilkan jentera mencecah RM30,000.
“Teknik pemanduan yang bagus menyumbang peratusan terbesar untuk memenangi pertandingan kali ini. Nisbah kejayaan kereta dan pemandu ialah 40:60,” katanya yang juga merupakan seorang pensyarah di politeknik berkenaan.
Kaedah momentum

PASUKAN PUO menjuarai PEC 2011.
Jujur saya katakan, jentera pasukan PUO bukanlah secantik mana. Warnanya kelabu. Rupa keretanya macam paruh burung penguin gergasi. Jauh berbeza jika dibandingkan dengan 13 pasukan lain.
Namun, kereta paruh penguin itulah yang membantu PUO membawa pulang hadiah wang tunai RM20,000 dan sebuah trofi. Ia mampu menewaskan pesaing lain. Jadi, cantik tidak semestinya hebat.
Pemandu pasukan PUO, Shahriman Che Rodi berkata, kaedah pergerakan momentum digunakan sewaktu perlumbaan. Apa yang dimaksudkannya ialah jentera digerakkan pada kelajuan ideal dan kemudian enjin kereta dimatikan.
“Apabila pergerakan kenderaan semakin perlahan, saya akan menghidupkan semula enjin dan memandu seperti biasa. Brek tidak digunakan sewaktu mengambil selekoh,” katanya yang juga merupakan salah seorang pensyarah kejuruteraan sivil di PUO.
Juara kategori transmisi automatik tahun 2009, USM berjaya menempatkan diri di tempat ketiga dengan jarak 17.4 km. Mereka membawa pulang hadiah RM5,000. Selain itu, pasukan USM turut memenangi tempat kedua bagi kategori kejuruteraan PEC 2011 dengan hadiah RM10,000.
Tempat kedua kategori Jarak Paling Jauh menjadi milik Universiti Selangor (Unisel) dengan jarak 19.1 km. Pasukan dengan kenderaan putih oren itu antara rekaan jentera yang menarik. Mereka menerima hadiah RM10,000 dan sebuah trofi.
No comments:
Post a Comment